Memegang status perantau dan pada masa yang sama pelajar perubatan bukanlah perkara mudah. Pelbagai cabaran perlu diatasi dengan tabah. Kekuatan mental sangat diperlukan untuk berdepan dengan pelbagai situasi setiap hari. Jikalau mentalku lemah, mungkin sudah lama aku rebah dan putus asa. Aku pun tidak tahu bagaimana aku mampu bertahan hingga ke hari ini. Sudah 3 tahun aku berada dalam bidang ini. Pelbagai perkara telah aku pelajari dan banyak pengalaman yang telah aku timba. Mempelajari ilmu perubatan ini bukanlah mudah tetapi jika ada minat dan kesungguhan, tidak mustahil untuk berjaya.
Minat dan kesungguhan? Adakah aku memiliki keduanya? berfikir sejenak, aku harapkan jawapannya adalah ya tetapi yang dapat aku perkatakan di sini, minat dan kesungguhanku belum lagi mencukupi. Kadang-kadang rasa minat itu datang dan aku seronok buat seketika tetapi kadang-kadang ia jadi hambar, dan aku sudahnya tidak bersemangat melakukan perkara yang sepatutnya aku lakukan. Kesungguhan? minat dan kesungguhan merupakan 2 perkara yang sangat berkait rapat. Jika tiada minat, mana akan datangnya kesungguhan? Jika minat itu hadir, aku yakin aku akan bersemangat untuk terus belajar dan berusaha walau apa pun halangan yang menanti. Bolehkan minat dipupuk? bolehkan aku memaksa diriku untuk meminati? adakah itu mungkin? Kerana setiap hari, aku memaksa diriku untuk bangun dan pergi ke hospital..Aku tidak sepatutnya begitu. Aku tidak sepatutnya memulakan hariku dengan keterpaksaan. Aku tidak mungkin dapat menjadi seorang doktor yang berjaya jika aku terus-terusan bersikap sedemikian.
Aku bukanlah langsung tiada minat dan kesungguhan tetapi ia hanya hadir seketika dan ada ketikanya ia menghilang. Berada di bumi asing menyukarkan lagi keadaan. Dapat aku simpulkan peribahasa, " hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri" ada benarnya juga. Masalah komunikasi adalah suatu benda yang besar buat diriku. Aku mengaku english ku tidak sebagus mana walaupun dah hampir setahun setengah aku di negara asing. Masalah ini kadang-kadang melunturkan semangatku dan amat mengganggu emosiku juga fikiranku. Bukanlah aku tidak bersyukur diberikan peluang menjejakkan kaki di bumi asing ini malahan ini adalah cita-citaku sejak sekian lama. Sejujurnya aku amat bersyukur dapat melebarkan langkahku ke bumi asing ini untuk menimba ilmu dan mengenali budaya dan adat-resam bangsa lain. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Aku seharusnya redha dan tidak perlu merungut tetapi aku harus juga meluahkan nya di sini.
Mujurlah ada Yang Maha Kuasa tempat aku mengadu di kala duka. Jika hariku tidak sebaik yang aku harapkan, aku panjatkan doa kepada-Nya agar aku cepat2 melupakan perkara buruk yang berlaku. Kalau aku tidak dapat lari dari memikirkan setiap perkara itu , ku kira boleh sahaja aku jadi gila. Yang sebenarnya, aku tahu dari mana datangnya kekuatanku untuk meneruskan perjuangan ini.Ini tidak lain adalah rahmat dari Allah S.W.T. Dikala duka, dikala hatiku hancur dan terasa ingin sahaja berhenti melangkah ke hadapan, aku ada Dia, sumber kekuatan dan ketenangan. Walaupun sukar, aku akan meneruskan perjuangan ini. Walau sepenat mana langkahku, aku tidak akan berhenti. InsyaALLAH.